Tuesday, September 29, 2009

Panduan Pengunaan Bahan Kosmetik



Oleh Prof. Madya Dr. Mohamed Isa Abd. MajidPusat Racun Negara, USM

Dari segi definisi umum, kosmetik merupakan sediaan yang digunakan pada bahagian luar badan untuk tujuan kecantikan atau pembersihan supaya rupa bentuk berubah menjadi lebih menawan atau menarik. Kebiasaannya sediaan ini digunakan atau dilekatkan pada bahagian kulit yang merupakan bahagian badan yang mempunyai banyak cabaran daripada pengaruh alam sekitar di samping sediaan kosmetik. Atas pertimbangan ini, keserasian di antara bahan yang diletakkan pada kulit amat penting dengan sifat semulajadi kulit. Sekiranya bahan yang digunakan menyebabkan hakisan atau rengsa, maka kosmetik yang digunakan berpotensi untuk merosakkan rupa paras. Penggunaan yang serasi banyak bergantung kepada pemahaman penggunaan kosmetik serta pengetahuan lanjut tentang bahan-bahan yang terdapat di dalam sediaan kosmetik.
Kepentingan untuk mengetahui bahan-bahan yang digunakan di dalam sediaan kosmetik dapat dilihat daripada dua sudut utama iaitu kesihatan dan penggunaannya. Bahan-bahan yang digunakan berupaya untuk menyebabkan kecederaan pada tapak pemakaian seperti dikulit.
FUNGSI DAN KEGUNAAN:
Memandangkan pentingnya untuk mengetahui bahan-bahan yang digunakan, maka pemahaman tentang kegunaan bahan-bahan tersebut di dalam sediaan kosmetik yang perlu difahami.
PENGAWET:
Bertujuan untuk memberi perlindungan kepada sediaan kosmetik daripada pencemaran kuman semasa kosmetik digunakan dan juga mengurangkan kerosakan sediaan yang disebabkan oleh pertumbuhan kuman.
PENGIMBANG pH:
Merupakan bahan yang akan mengekalkan pH sediaan kosmetik supaya sediaan tersebut serasi dengan kulit. Jika bahan tersebut tidak digunakan, perubahan mendadak dari segi nilai pH iaitu sama ada berasid atau berbes akan menyebabkan kerengsaan kulit terjadi semasa pemakaian sediaan kosmetik tersebut.
PENGAWALAN KELEMBAPAN:
Digunakan untuk mencegah kehilangan air daripada sediaan kosmetik apabila bekas sediaan kosmetik dibuka berulangkali.
PEMBANTU PROSESAN:
Merupakan bahan-bahan yang digunakan untuk memproses campuran bahan-bahan kosmetik agar menjadi suatu produk akhir yang menarik.
PEWARNA:
Digunakan untuk menghasilkan warna sediaan yang menarik perhatian pengguna. Perwarna yang digunakan boleh merupakan pewarna kimia seperti FD & C Merah atau pewarna asli seperti karotena, alkanet dan safron.
PERASA:
Digunakan untuk menutup rasa bahan-bahan kosmetik yang tidak enak apabila digunakan. Contoh bahan perasa yang digunakan adalah seperi amil asetat dan etil asetat.
PEWANGI:
Banyak digunakan di dalam sediaan minyak wangi. Dalam kebanyakan sediaan minyak wangi, nama pewangi tidak dinyatakan bertujuan untuk melindungi pelaburan pembangunan sediaan wangi yang dibuat oleh pengilang.

No comments: